Lukanisman dicabar PKR dan PBDS di Sibuti

Calon-calon Parlimen Sibuti iaitu Lukanisman, Zulhaidah dan Bobby menunjukkan nombor giliran selepas pengumuman di Dewan Masyarakat Bekenu di sini, hari ini.

SIBUTI— Penyandang Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhadapan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila berhadapan dengan calon dari Pakatan Harapan (PH) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).


Lukanisman, 40, yang juga Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyandang Parlimen Sibuti sejak 2018 dicabar oleh Zulhaidah Suboh mewakili Parti Keadilan Rakyat (PH-PKR) dan calon PBDS Bobby William.


Pengumuman rasmi calon dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Sibuti Rohanie Yusof di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Masyarakat Bekenu di sini, hari ini.


Lukanisman tiba di PPC diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus sebagai pencadang dan penyokongnya ADUN Lambir Dr Ripin Lamat.


Zulhaidah yang juga Ketua Wanita PKR Negeri Sarawak diiringi Ladik Jupong dan Norhafizah Mohd Joharie sebagai penyokong, manakala Bobby diiringi Siti Berangkut sebagai pencadang dan penyokong Rusty Wati.


Kerusi Sibuti yang mula diwujudkan pada 2005, dan secara tradisinya dimenangi oleh Parti Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB).


Pada PRU14, Lukanisman menang dengan majoriti 3,676 undi menewaskan pencabarnya daripada PKR Jemat Panjang dan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Zulaihi Bakar.


Lukanisman meraih 12,214 undi keseluruhan, manakala Jemat mendapat 8,538 undi dan Zulaihi mendapat 1,617 undi.

Next Post Previous Post