Notification

×

Iklan

Iklan

Datuk Narendrakumar didakwa pengubahan wang haram RM115 juta

| November 03, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-03T10:00:54Z

KUALA LUMPUR— Rakan Kongsi Pengurusan Negara, Grant Thornton Malaysia, Datuk C. R Narendrakumar sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM115 juta, empat tahun lalu.


Narendrakumar, 72, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid, lapor Bernama.


Tertuduh, ketika itu, Penerima dan Pengurus di  syarikat Sabah Forest Industries Sdn. Bhd.,  telah memindahkan wang berjumlah RM115 juta melalui 12 transaksi secara dalam talian daripada akaun semasa CIMB Bank Berhad milik syarikat itu ke dalam akaun simpanan tetap CIMB Islamic Bank Berhad milik syarikat sama, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, pada 5 Feb 2018, mengikut perenggan 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.


Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan berkenaan dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.


Timbalan Pendakwa Raya, Noor Zalizan Lazarous mencadangkan jaminan RM1 juta dengan dua penjamin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.


Peguam AG Kalidas, yang mewakili Narendrakumar, memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin RM300,000 berikutan tertuduh mengalami masalah kesihatan dan tiada risiko untuk melarikan diri.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM350,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 5 Jan tahun depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan kes.


Pada 14 Sept lepas, Narendrakumar didakwa atas lapan pertuduhan iaitu sebagai ejen iaitu pengurus dan penerima di syarikat Sabah Forest Industries Sdn. Bhd., telah melakukan pecah amanah wang deposit berjumlah RM2,383,370.31 milik syarikat Pelangi Prestasi Sdn Bhd dalam akaun CIMB, yang telah diamanahkan kepadanya.

×
Berita Terbaru Update