Notification

×

Iklan

Iklan

Belum ada keputusan pelantikan PM ke-10 - Anwar

| November 22, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-22T12:01:48Z
Anwar berkata Agong bertitah supaya kerajaan yang akan ditubuhkan kelak, harus mewakili semua pihak, semua kaum dan semua wilayah.

KUALA LUMPUR—Belum ada sebarang keputusan berkaitan pelantikan Perdana Menteri ke-10 serta pembentukan kerajaan Persekutuan baharu pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setakat ini, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata pada sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah petang ini, Seri Paduka menitahkan perlu ada pakatan serta kerjasama daripada semua pihak supaya kerajaan baharu dibentuk secara kukuh demi kepentingan rakyat dan pemulihan ekonomi.


Anwar berkata Agong bertitah supaya kerajaan yang akan ditubuhkan kelak, harus mewakili semua pihak, semua kaum dan semua wilayah.


“Tiada apa-apa keputusan lagi setakat ini. Selalunya kita secara hormat tidak bagi ketetapan, hanya meminta pertimbangan dan kebijaksanaan Agong (untuk pelantikan Perdana Menteri ke-10 dan pembentukan kerajaan),” katanya pada sidang media di hadapan Pintu 2, Istana Negara di sini hari ini, lapor Bernama.


Terdahulu, Anwar dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara selama kira-kira sejam.


Ditanya nama yang dikemukakan setakat ini, Anwar yang memenangi kerusi Parlimen Tambun pada PRU15, Sabtu mengesahkan nama beliau sebagai calon Perdana Menteri ke-10 telah dipersembahkan kepada Istana Negara setakat ini.


Anwar juga berkata setakat ini tidak timbul isu mengenai pembentukan kerajaan minoriti.


“Mengulas sama ada terdapat cadangan untuk membentuk kerajaan minoriti, beliau berkata: “Buat masa ini tidak timbul soal membentuk kerajaan minoriti.” 


Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi namun ketika ini berlaku situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.


Keputusan PRU15 menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi Parlimen diikuti PN (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi. 

×
Berita Terbaru Update