Notification

×

Iklan

Iklan

Banyak kelebihan diberikan kepada Sabah, Sarawak jika BN menang, Ismail Sabri

| November 16, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-16T00:39:01Z
Datuk Seri Ismail Sabri bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa perasmian Projek Seksyen Selangau untuk Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, Isnin lalu. Gambar arkib kredit Jabatan Penerangan Sarawak


KUALA LUMPUR-- Pelbagai perancangan menerusi Bajet 2023 yang banyak memberi kelebihan kepada Sabah dan Sarawak terutamanya aspek pembangunan infrastruktur bakal dilaksanakan sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat menerajui pemerintahan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Okt lepas mengutamakan pembangunan infrastruktur luar bandar termasuk jalan kampung, selain meneruskan usaha untuk menyiapkan projek besar seperti Projek Lebuhraya Pan Borneo.


“Begitu juga dengan sekolah-sekolah daif yang merupakan isu sangat dekat di hati rakyat Sabah dan Sarawak. Klinik-klinik desa yang kedudukannya (keadaan) amat daif sekali. Saya sendiri melihat apabila ditunjukkan video tentang klinik desa, begitu menyedihkan dan perkara ini diberikan fokus,” kata beliau.


Ismail Sabri berkata demikian dalam program Bual Bicara Khas Kestabilan dan Kemakmuran Bersama Perdana Menteri yang disiarkan oleh Bernama TV dan beberapa stesen televisyen tempatan, malam tadi lapor Bernama.


Sabah dan Sarawak masing-masing diperuntukan sebanyak RM6.3 bilion dan RM5.4 bilion menerusi Bajet 2023 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama, antaranya bagi melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan.


Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata dakwaan menyatakan kerajaan pimpinan BN tidak memberi fokus terhadap kedua-dua negeri Borneo itu adalah tidak benar.


“Kalau hendak menyatakan kita tidak memberi fokus atau tumpuan kepada Sabah dan Sarawak, itu adalah satu perkara yang tidak benar kerana kita akan terus memberikan perhatian kepada kedua-dua negeri itu bagi  memastikan segala kemudahan dan keperluan disediakan untuk rakyatnya.


“Ini termasuk dari segi di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk capaian Internet dan sebagainya, semuanya termasuk dalam perancangan kita. Banyak yang kita rancang untuk Sabah dan Sarawak,” kata penyandang kerusi Parlimen Bera, yang turut dinamakan sebagai calon perdana menteri jika BN memenangi PRU15.


Ismail Sabri berkata dengan memberi keutamaan pembangunan di Sabah dan Sarawak, ia adalah sebahagian perjuangan untuk membasmi kemiskinan tegar di negara ini menjelang 2025 seiring Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).


“...perkara (berkaitan) membasmi kemiskinan ini mesti diteruskan dan juga (usaha) merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar mesti diteruskan. Begitu juga dengan merapatkan jurang antara wilayah. Sebab itulah saya akan fokus kepada pembangunan Sabah dan Sarawak dari segi pembangunan infrastruktur, tingkatkan ekonomi dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak.


“Seperti yang kita janjikan, layanan terhadap Sabah dan Sarawak adalah sama sahaja seperti di Semenanjung. Malah dari segi tumpuan kepada pembangunan infra dan sebagainya akan kita utamakan dan berikan kelebihan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.


Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada Sabtu ini.

×
Berita Terbaru Update