Notification

×

Iklan

Iklan

Airasia lancar laluan Singapura-Sibu

| November 22, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-22T12:34:32Z
Penerbangan terus Singapura ke Sibu akan bermula pada 16 Dis ini dengan empat penerbangan seminggu - Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.

SINGAPURA— Syarikat penerbangan tambang rendah yang berpangkalan di Malaysia, AirAsia melancarkan laluan Singapura-Sibu, Sarawak pada Pameran Sarawak yang julung kali diadakan, anjuran Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) di sini hari ini.


Bermula dengan empat penerbangan seminggu - Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad - ini merupakan laluan ketiga AirAsia yang menghubungkan Singapura dan Sarawak, berikutan kejayaan pelancaran laluan Singapura-Kuching dan Singapura-Miri sebelum ini pada April.


Penerbangan terus Singapura ke Sibu akan bermula pada 16 Dis, 2022, lapor Bernama.


“Sejak kami mengumumkan laluan Singapura-Sibu pada minggu lepas, kami telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada kedua-dua pihak, terutamanya daripada komuniti perniagaan, penduduk yang mempunyai keluarga yang tinggal di seberang serta pelancong dan pengembara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat dalam kenyataan bersama hari ini.


Beliau berkata syarikat penerbangan gembira dapat bekerjasama rapat dengan STATOS dan Kementerian Pengangkutan Sarawak; Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak; Lembaga Pelancongan Sarawak dan semua pihak berkepentingan serta rakan kongsi pelancongan di Sarawak dan Singapura untuk menjayakan laluan tersebut.


Riad turut mengumumkan AirAsia akan meningkatkan penerbangan Singapura-Kuching kepada 11 kali seminggu dan Singapura-Miri kepada lima kali seminggu bermula Disember.


“Bersama dengan penerbangan Singapura-Sibu empat kali seminggu, kami adalah syarikat penerbangan yang mempunyai jaringan terbesar antara Singapura dan Sarawak, dan kami amat gembira kerana dapat memudahkan lagi perdagangan, perjalanan dan pelancongan serta menghubungkan semula keluarga,” katanya.


Tambang promosi dari serendah SGD74 termasuk semua untuk perjalanan sehala Singapura-Sibu boleh didapati untuk tempahan di airasia Super App dan laman web mulai sekarang hingga 27 Nov, 2022 manakala tambang promosi termasuk semua Sibu ke Singapura bermula dari hanya RM99.


Tempoh perjalanan untuk promosi tersebut adalah dari 16 Dis, 2022 hingga 28 Mac, 2023.


“Pengenalan laluan Singapura-Sibu oleh AirAsia adalah tepat pada masanya berikutan kami bekerja keras dengan semua pihak berkepentingan untuk menyusun strategi dalam menjadikan Sarawak sebagai destinasi pilihan untuk pelancongan dan perniagaan.


“Saya pasti pelancaran penerbangan Singapura-Sibu oleh AirAsia di Pameran Sarawak yang julung kali diadakan di sini di Suntec City menandakan permulaan lebih banyak kerjasama strategik antara kami pada masa depan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif STATOS Chew Chang Guan.


Pameran Sarawak oleh STATOS selama tujuh hari itu diadakan dari 21-27 Nov, 2022, menampilkan 31 peserta pameran dari sektor pelancongan dan perniagaan Sarawak.


Acara ini bertujuan untuk mempromosikan negeri tersebut sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan serta menjana minat yang berterusan dalam produk dan perkhidmatannya dalam kalangan rakyat Singapura.


Pengunjung yang membeli pakej pelancongan ke Sarawak pada acara itu akan dapat ‘Spin the Wheel’ untuk hadiah tajaan bernilai kira-kira SGD40,000, termasuk 16 tiket penerbangan pergi balik dengan AirAsia ke Sibu, Kuching dan Miri. 


Turut menjadi rebutan ialah baucar resort dan hotel, baucar diskaun untuk pakej percutian dan produk sampel, termasuk produk sarang burung yang terkenal di dunia dan lada hitam Sarawak.


Sibu ialah sebuah bandar moden yang berkembang maju serta kaya dengan warisan sejarah dan budaya, mempunyai pelbagai pilihan makanan yang menarik, dengan pelabuhan dan pusat komersial terbesar di lembangan Rejang di Sarawak.


Ia merupakan pintu masuk utama ke wilayah Sarawak tengah dengan akses pengangkutan darat dan sungai yang mudah ke kebanyakan bandar dan pusat komersial di sekitarnya seperti Sarikei, Bintangor, Kapit dan Mukah.

×
Berita Terbaru Update