Ahli Parlimen digugurkan parti guna ‘talian hayat’

Ahli Parlimen digugurkan parti guna ‘talian hayat’
Bekas Naib Presiden PKR Tian Chua yang sebelum ini pernah menjadi Ahli Parlimen Batu dari 2008 hingga 2013, memilih bertanding sebagai calon Bebas di kerusi sama pada PRU15. Gambar kredit FB Jeff Cullen

KUALA LUMPUR— Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan beberapa penyandang kerusi Parlimen yang telah digugurkan daripada senarai calon oleh parti masing-masing bertindak menggunakan ‘talian hayat’ dengan bertanding atas tiket parti lain.


Antaranya Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, penyandang kerusi Parlimen Arau, yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN). 


Shahidan, yang sebelum ini bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN), berdepan pertandingan tiga penjuru menentang Datuk Rozabil Abd Rahman (BN-UMNO) dan Fathin Amelina Fazlie (PH-PKR), lapor Bernama.


Datuk Zahidi Zainul Abidin, yang turut digugurkan daripada senarai calon BN, pula bertanding atas tiket Bebas di kerusi Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi. 


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berdepan saingan lima penjuru menentang Datuk Zahida Zarik Khan (BN-UMNO), Datuk Rushdan Rusmi (PN-PAS), Mohamad Saad @ Yahya (PH-Amanah) dan Ko Chu Liang (Warisan).


Bagi DUN Titi Tinggi, Zahidi dicabar Khaw Hock Kong (Warisan), Teh Seng Chuan  (PH-DAP), Izizam Ibrahim (PN-Bersatu), Mohd Shahril Md Sarif (Pejuang) dan penyandang kerusi itu Teh Chai Aan (BN-MCA).


Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib pula akan mempertahan kerusi Parlimen Maran sebagai calon PAS menentang Muhamad Hafiz Ishak (Bebas), Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin (BN-UMNO) dan Ahmad Shuhor Awang (PH-Amanah).


Bekas Naib Presiden PKR Tian Chua Chang, atau Tian Chua, yang sebelum ini pernah menjadi Ahli Parlimen Batu dari 2008 hingga 2013, memilih bertanding sebagai calon Bebas di kerusi sama pada PRU15.


Tian Chua berdepan saingan 10 penjuru dan beliau dicabar antaranya oleh penyandang kerusi itu, P Prabakaran (PH-PKR), serta bekas Timbalan Menteri Luar Datuk A Kohilan Pillay (BN-MIC).


Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, yang juga penyandang Parlimen Kuala Nerus, pula memilih bertanding atas tiket BN bagi mempertahan kerusi itu.


Pada PRU14, Mohd Khairuddin menang dengan majoriti 8,447 undi.


Penyandang Parlimen Tumpat daripada PAS, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, pula bertanding atas tiket BN serta dicabar Khairul Azuan Kamarrudin (Warisan), Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-PAS), Che Muhammad Asemari Che Ali (Putra), Wan Mohd Johari Wan Omar (PH-Amanah) dan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (BN-UMNO).

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.