Notification

×

Iklan

Iklan

Abang Johari puas hati dengan pencapaian GPS pada PRU15

| November 20, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-20T00:27:19Z
Menurut Abang Johari, jumlah kerusi yang dimenangi kali ini melepasi 19 kerusi yang dimenangi ketika GPS bertanding di bawah Barisan Nasional (BN) dalam PRU14 pada tahun 2018.

KUCHING— Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg berpuas hati dengan prestasi gabungan politik itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila memenangi 21 daripada 31 jumlah keseluruhan kerusi Parlimen di negeri itu. 


Beliau berkata jumlah itu sudah melepasi 19 kerusi yang dimenangi ketika GPS, yang terdiri daripada empat parti, bertanding di bawah Barisan Nasional (BN) dalam PRU14 pada tahun 2018.



"Hari ni sah 21 (kerusi) dan kalau dikira, akan dapat dua lagi jadi penambahan 23 (kerusi). Ini jumlah yang memuaskan," katanya pada sidang akhbar di sini malam ini. 


Tambahan dua kerusi yang dirujuk Abang Johari ialah Limbang dan Baram, lapor Bernama.


Keputusan rasmi bagi Limbang tidak dapat diumumkan malam ini kerana beberapa peti undi belum tiba di pusat penjumlahan manakala pengundian di Baram terpaksa ditangguhkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan cuaca buruk.


Abang Johari, yang juga Premier Sarawak, berkata pencapaian GPS pada pilihan raya kali ini adalah dalam anggaran mereka menjelang hari pengundian dengan satu daripada parti komponennya, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), berjaya memenangi tambahan kerusi untuk mereka iaitu di Sarikei.


Beliau berkata kemenangan di Sri Aman dan Lubok Antu juga penting kepada GPS serta menyifatkan kekalahan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum di Julau sebagai tidak bernasib baik.


Abang Johari berkata GPS juga berhasrat untuk menang di kerusi Parlimen Saratok namun pengundi di kawasan itu telah membuat keputusan sebaliknya.


“Kita perlu menerima keputusan rakyat. Anda perlu menghormati keputusan mereka. Memanglah kita meletakkan calon untuk menang tetapi inilah politik,” katanya.


Datuk Ali Biju daripada Perikatan Nasional-Bersatu memenangi kerusi itu selepas memperoleh 19,223 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Giendam Jonathan Tait (GPS) yang meraih 10,397 undi dan Ibil Jaya (Pakatan Harapan), yang mendapat 1,221 undi serta hilang wang deposit.


Abang Johari juga berkata terdapat kemungkinan satu gabungan Kerajaan Persekutuan akan dibentuk susulan keputusan PRU15 setakat ini yang menyaksikan tiada gabungan atau parti muncul sebagai pemenang yang jelas atau memiliki jumlah kerusi dominan.  


“Saya belum mendapat butiran mengenai keputusan di Semenanjung Malaysia meskipun saya telah dimaklumkan bahawa BN sedikit mendahului dalam pilihan raya ini. Isu sama ada GPS akan bekerjasama dengan mereka akan diputuskan kemudian,” katanya.

×
Berita Terbaru Update