21,000 Siswa nikmati manfaat Food Bank, Nanta

21,025 siswa mendapat manfaat daripada program Food Bank Siswa, 28 Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Seramai 21,025 siswa telah mendapat manfaat daripada program Food Bank Siswa meliputi 28 Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara, sehingga September lepas. 


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata program itu hari ini melebarkan sayap dengan pelancaran program tersebut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak yang menjadi IPT yang ke-29 menerima manfaat inisiatif berkenaan.


Beliau berkata program Food Bank Siswa di UiTM Cawangan Sarawak setakat ini telah menyantuni 831 pelajar B40 dari pelbagai bidang, selain berjaya memupuk semangat kesukarelawanan dalam kerja-kerja kebajikan. 


“Sukarelawan pelajar mencurahkan bakti tenaga mereka secara sukarela untuk menguruskan Food Pantry, membahagikan bahan makanan, barang-barang keperluan diri dan peralatan pembelajaran kepada siswa berkenaan secara teratur dan mengawal inventori supaya bekalan tidak terputus.


“Kejayaan Food Bank Siswa UiTM Cawangan Sarawak ini ditunjangi oleh rakan-rakan strategik seperti Everrise dan Econsave yang sudi menghulurkan bantuan dalam bentuk keperluan siswa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Nanta berkata program Food Bank Siswa kelolaan Sekretariat Food Bank Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah digerakkan sejak Feb 2019, dengan  bantuan turut disalurkan kepada golongan memerlukan termasuk B40 terpilih dan mangsa bencana alam seperti banjir. 


Sementara itu, beliau berkata kementerian itu turut melaksanakan Inisiatif Teknologi Pembungkusan Secara Retort yang melibatkan industri perhotelan, katering dan pengeluar makanan berasaskan pertanian. 


Sehingga kini, Nanta berkata 12 mesin retort telah beroperasi di 10 lokasi terpilih dan menghasilkan lebih 3,000 pek makanan untuk diagihkan kepada golongan sasar yang dikenal pasti.


“Program Food Bank Siswa juga mendapat manfaat daripada inisiatif ini memandangkan makanan retort bersifat sedia untuk dimakan,” katanya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.