WHO beri amaran ubat batuk buatan India didakwa punca kematian kanak-kanak di Gambia

Empat produk yang dikenal pasti itu ialah: Promethazine Oral Solution, Kofexmalin Baby Cough Syrup, Makoff Baby Cough Syrup dan Magrip N Cold Syrup. Gambar hiasan


NEW DELHI—Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran global terhadap empat ubat pediatrik keluaran sebuah syarikat India selepas ia disyaki menyebabkan kematian kanak-kanak di Afrika Barat.


Empat produk yang dikenal pasti itu ialah: Promethazine Oral Solution, Kofexmalin Baby Cough Syrup, Makoff Baby Cough Syrup dan Magrip N Cold Syrup.


Menurut WHO, pengeluar produk berkenaan ialah Maiden Pharmaceuticals Limited di negeri Haryana di utara India.


"Sehingga kini pengeluar yang dinyatakan tidak memberikan jaminan kepada WHO mengenai keselamatan dan kualiti produk ini.


"Analisis sampel makmal bagi setiap empat produk mengesahkan bahawa ia mengandungi jumlah dietilena glikol dan etilena glikol yang berlebihan," menurut WHO dalam satu kenyataan pada Rabu.


Gambia pada September melancarkan penyiasatan ke atas jenama sirap parasetamol selepas berlakunya kes kecederaan buah pinggang akut dalam kalangan kanak-kanak.


Berpuluh-puluh kanak-kanak di bawah umur lima tahun meninggal dunia sejak Julai dan bukti klinikal menunjukkan sirap parasetamol mungkin menjadi antara puncanya, kata Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Gambia Mustapha Bittaye bulan lalu.


Ubat-ubatan itu telah dikenal pasti di Gambia, tetapi mungkin diedarkan melalui pasaran tidak rasmi, ke negara atau wilayah lain, menurut WHO.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post