Syabu seberat 60.84 gram dirampas, dua suspek diberkas dalam Op Tapis di Limbang


LIMBANG--Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang memberkas dua suspek yang terdiri daripada seorang lelaki dan wanita kerana memiliki dadah syabu seberat 60.84 gram dianggarkan bernilai RM 6,000 dalam Op Tapis yang dijalankan hari ini.


Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, kedua-dua suspek yang tidak bekerja berusia lingkungan 30-an, ditahan dalam operasi yang dijalankan seorang pegawai dan lapan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di kawasan Jalan Muhibbah.


"Bekalan dadah ini dipercayai bagi tujuan pasaran tempatan di sekitar Daerah Limbang.


"Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek lelaki positif dadah manakala suspek wanita negatif dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati dan Akta Dadah Berbahaya(Perlucutan Harta) 1988.


"Op Tapis ini akan diteruskan secara berterusan dari semasa ke semasa yang melibatkan aset-aset PDRM secara maksima.


"Orang awam diminta bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan dadah agara pembanterasan dapat dilakukan secara berterusan," ujarnya.

Next Post Previous Post