Remaja 15 tahun lemas di Tasik Tiga Beradik

Remaja 15 tahun lemas di Tasik Tiga Beradik, Berita Malaysia terkini, kemalangan pasir Gudang, Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya

Mangsa ditemukan di tasik sedalam kira-kira tiga meter dan sejauh tujuh meter dari tebing. Gambar kredit Bomba

PASIR GUDANG— Seorang remaja lelaki lemas manakala seorang lagi selamat ketika mandi di Tasik Tiga Beradik, Seri Alam, di sini pagi tadi. 


Kedua-dua mangsa berusia 15 tahun itu yang merupakan rakan sekolah mandi di tasik berkenaan bersama empat lagi rakan mereka.


Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulbahri Safar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.57 pagi berhubung kejadian lemas membabitkan dua mangsa.


Beliau berkata bagaimanapun, seorang daripada mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail dengan menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.


“Setibanya di lokasi kejadian, PKO segera menjalankan operasi mencari mangsa kedua sebelum menjumpainya di tasik sedalam kira-kira tiga meter dan sejauh tujuh meter dari tebing. 


“Mangsa kemudian dibawa naik sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 


Saifulbahri berkata terdahulu kesemua remaja terbabit yang terdiri daripada empat lelaki serta dua perempuan itu dipercayai melakukan aktiviti mendaki sebelum mandi di tasik berkenaan. 


Operasi tamat sepenuhnya pada 12.14 tengah hari tadi. 

-- BERNAMA 


LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.