PRU15: DAP umum calon berperingkat mulai minggu depan

DAP akan mengumumkan senarai calonnya bagi Pilihan Raya Umum ke-15

Anthony Loke berkata, calon setiap negeri akan diumumkan secara berperingkat. Gambar arkib


SEREMBAN— DAP akan mengumumkan senarai calonnya bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di setiap negeri secara berperingkat bermula minggu depan, kata Setiausaha Agung Anthony Loke.


“Kami belum memuktamadkan lagi calon-calon. Negeri-negeri telah menghantar cadangan mereka, kami akan membincangkan dan memuktamadkannya,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis pelancaran jentera pilihan raya Parlimen Seremban di sini hari ini.


Loke yang juga penyandang kerusi Parlimen Seremban, optimis dapat mempertahankan kerusi tersebut berdasarkan pengalaman lebih 18 tahun berkhidmat di kawasan tersebut.


"Saya telah lama berkhidmat di Parlimen Seremban iaitu dua penggal, sebelum itu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak selama dua penggal, jadi pengalaman saya lebih 18 tahun pengalaman politik saya di Seremban," katanya.


Loke memenangi kerusi Parlimen Seremban dengan majoriti 30,694 undi pada PRU14.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar