PRU15: Calon PKR dimuktamad sebelum 20 Okt


KUALA LUMPUR— Calon PKR yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dimuktamadkan selewat-lewatnya 19 Okt ini, kata Timbalan Presidennya Rafizi Ramli.


Beliau yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya PKR berkata setakat 10 pagi tadi, seramai 1,673 berminat menjadi calon PKR melalui pendaftaran di laman www.calonkeadilan.org.


Beliau berkata antara kriteria penilaian calon PKR adalah rekod berkhidmat dalam parti termasuk senarai kekananan iaitu 30 peratus, mempunyai kekuatan jentera pilihan raya dan prestasi kempen (20 peratus) serta keterampilan dan kesesuaian menjadi wakil rakyat (20 peratus).


Turut diambil kira ialah sumbangan kepada masyarakat di luar politik dalam pelbagai bentuk termasuk kerja sukarelawan, pakar dalam industri dan bidang tertentu (20 peratus) dan capaian media sosial bagi  mengukur kemahiran berkomunikasi dan sebaran maklumat dengan orang ramai (10 peratus).


“Pemilihan calon adalah lebih demokratik dengan melibatkan semua peringkat dalam dan luar parti untuk memastikan pandangan seberapa banyak pihak seperti pengundi, pimpinan akar umbi dan pimpinan pusat diambil kira,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Rafizi berkata senarai pendek calon ditentukan bersama oleh Jawatankuasa Calon yang dipengerusikannya dan naib-naib presiden, dan kemudian dikemukakan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dimuktamadkan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post