Polis Brunei kejar penjenayah sehingga masuki sungai Limbang


LIMBANG- Insiden kejar berkelajuan tinggi membabitkan Polis Marin Brunei dan bot disyaki milik warga Brunei di perairan sungai Limbang pada Selasa dilakukan untuk mengekang kegiatan disyaki melanggar undang-undang kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Brunei.


Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata dalam  kejadian itu sebuah bot Polis Marin Brunei mengejar sebuah lagi bot warga Brunei sehingga memasuki perairan Malaysia di Sungai Limbang dalam insiden yang berlaku jam 3 petang.


“Dalam kejadian itu Polis Limbang berjaya merampas  sebuah bot disyaki milik warganegara Brunei yang telah melarikan diri.


 “Kita kini sedang menyiasat dengan lebih lanjut berhubung  kes tersebut yang tular dan menarik perhatian warga di daerah tersebut,”katanya kepada Borneo Network hari ini.


 Parum Niot berkata lagi tindakan Polis Marin Negara Brunei itu adalah  tindakan serta merta pihak berkuasa perairan demi  menjaga keselamatan  dan memelihara keamanan kedua-dua negara.


Parum memberitahu lagi kerjasama di antara penguatkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama  polis diraja brunei akan diteruskan dan ditingkatkan bagi tujuan tersebut.


Tegasnya PDRM Limbang akan mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi kepada semua yang disyaki terlibat demi keselamatan negara dan menasihati orang awam agar mengelak daripada memberi komen-komen negatif tanpa mengetahui fakta sebenar bagi mengelak sebarang perlanggaran undang-undang negara.

Next Post Previous Post