Polis ambil keterangan 3 pelajar bantu siasatan kes buli


SHAH ALAM-- Polis telah merekodkan keterangan tiga pelajar lelaki Tingkatan Satu bagi membantu siasatan kejadian buli melibatkan seorang pelajar lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di Banting, dekat sini baru-baru ini.


Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata pihaknya menerima satu laporan malam tadi daripada seorang suri rumah berusia 40 tahun menyatakan anak lelakinya yang berusia 13 tahun  dibuli.


“Semasa kejadian, mangsa mengalami kecederaan ringan iaitu kesakitan pada pipi akibat dipukul.


“Punca kejadian dipercayai pelajar-pelajar berkenaan tidak berpuas hati dengan mangsa yang tidak hadir bertemu guru disiplin berikutan kegiatan mereka ponteng sekolah pada 12 Okt lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Ahmad Ridhwan berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.


Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak sahih mengenai kejadian yang boleh menggugat ketenteraman awam.


Semalam, tular menerusi media sosial, video berdurasi 55 saat memaparkan seorang pelajar menangis selepas ditampar dan ditendang beberapa kali oleh sekumpulan pelajar.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post