Petani didakwa bunuh anak, dipenjara 14 bulan cederakan isteri

Seorang petani bunuh bayi lelakinya di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Petani didakwa bunuh anak, Petani dipenjara 14 bulan cederakan istri
Muhammad Nasyran Zamzury didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Gambar kredit Kosmo

ALOR SETAR—Seorang petani dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bayi lelakinya berusia tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Sungai Lintang di sini, awal bulan lepas.


Muhammad Nasyran Zamzury, 28, didakwa membunuh anaknya Muhammad Annas di rumah berkenaan di antara 9 malam 4 Okt 2022 hingga 1.30 tengah hari, 10 Okt 2022.


Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Muhammad Nasyran didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.


Selain itu, tertuduh turut menghadapi tiga lagi pertuduhan di mahkamah sama dan mengaku salah terhadap satu daripada pertuduhan iaitu memasukkan dadah berbahaya jenis methamphetamine ke dalam dirinya sendiri, tanpa kebenaran pihak berwajib.


Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada kira-kira 7 malam, 10 Okt lepas.


Dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu dengan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Dis ini, sementara menunggu laporan patologi.


Bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Nasyran mengaku tidak bersalah mencederakan bekas teman wanitanya di sebuah bilik sewa di Jalan Meranti Off Jalan Putra, di sini kira-kira 7 pagi pada 5 Mei 2019.


Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan kes tersebut ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Nov depan.


Untuk pertuduhan terakhir, Majistret Siti Norhidayah menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan terhadap tertuduh yang mengaku bersalah dengan sengaja mencederakan isterinya, Siti Nur Kamalia Kamaruddin, 22, di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Mukim Padang Hang dekat sini, kira-kira 5 petang pada 4 Okt lepas.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurfatin Mastura Asri manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Zuriyah Mohd Nordin bagi pertuduhan mencederakan isterinya.


Bagaimanapun tertuduh tidak diwakili peguam bagi tiga lagi pertuduhan.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.