Penyelia syarikat berlesen ditahan bersama dadah bernilai RM25,550

Sebahagian dadah yang dirampas dalam serbuan di Kondominium Crystal Creek, Taiping, dua hari lepas. Gambar kredit Polis Taiping

IPOH—Polis Taiping merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM25,550 selepas menahan lelaki disyaki anggota sindiket pengedaran dadah dalam serbuan di Kondominium Crystal Creek, Taiping, dua hari lepas. 


Ketua Polis Daerah Taiping ACP Razlam Ab Hamid  berkata lelaki berumur 36 tahun itu ditahan bersama dadah pelbagai jenis yang diisi dalam sebuah beg, ketika serbuan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping. 


Beliau berkata antara dadah yang ditemui adalah ekstasi, pil erimin serta ketamin, dan ujian saringan air kencing mendapati suspek yang merupakan seorang penyelia sebuah syarikat pinjaman wang berlesen, positif dadah.


"Selain dadah, pihak polis turut merampas sebuah kenderaan milik suspek, dua bentuk cincin, sebuah telefon bimbit dan wang tunai, menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM153, 900,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Razlam berkata hasil semakan mendapati suspek mempunyai jenayah rekod lampau iaitu di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka dan aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah sejak Ogos lepas.


Menurutnya suspek direman hingga 22 Okt ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. 


-- BERNAMA

Next Post Previous Post