Penjara tolak permintaan Najib hadiri sidang Dewan Rakyat

Shafee memberitahu penjara menolak permintaan itu atas alasan keselamatan. Ganbar kredit Astro Awani

KUALA LUMPUR—Jabatan Penjara menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk hadir ke persidangan Dewan Rakyat, bermula hari ini.


Peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita hari ini bahawa jabatan tersebut menolak permintaan itu atas alasan keselamatan.



“”Kami telah menulis kepada Ketua Pengarah Penjara pada 19 Sept lalu dan mereka menjawab mereka tidak membenarkan atas keselamatan.


“Saya dapati ia agak tidak betul, sudah pastinya Parlimen lebih selamat daripada mahkamah…kerana kami telah menerima keputusan dan telah menulis rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin,” katanya selepas prosiding perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh Najib di Mahkamah Tinggi di sini.


Beliau berkata mereka akan memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Jabatan Penjara jika mereka tidak menerima jawapan daripada Hamzah dan kementeriannya pada tengah hari esok atau sekiranya rayuan mereka ditolak.


Terdahulu,  dalam Dewan Rakyat hari ini, Speaker Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata kehadiran Ahli Parlimen Pekan itu, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun ketika ini, ke sidang Dewan Rakyat bergantung kelulusan Jabatan Penjara.


Muhammad Shafee berkata yang paling penting mereka juga telah menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat (Azhar Azizan) mengenai kelayakan Najib sebagai Ahli Parlimen.


“Beliau (Azhar Azizan) sendiri kata sebab ada dua dokumen, satu pengampunan sudah masuk, dalam tempoh 14 hari dan satu lagi permohonan semakan - Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, yang juga dalam tempoh 14 hari. 


“Apabila Datuk Seri Najib melakukan perkara ini dalam tempoh 14 hari, sama ada ini, maka secara automatik beliau tidak hilang kelayakan. Beliau kekal sebagai Ahli Parlimen sehingga kedua-dua perkara ini diputuskan oleh pihak berkuasa yang berkenaan; satu oleh mahkamah dan satu lagi oleh Yang di-Pertuan Agong atau sehingga Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.


Muhammad Shafee seterusnya berkata anak guamnya  juga mahu Jabatan Penjara mempertimbangkan untuk membenarkannya melawat kawasannya di Pekan, Pahang.


“Kami telah meminta...sekali sekala beliau sepatutnya boleh, selagi beliau seorang Ahli Parlimen, untuk diiring ke kawasannya. Ini adalah untuk dia mendengar rungutan rakyat dan kemudian mewakilkan kerja kepada pembantunya... selepas itu dia kembali ke penjara,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post