Pejalan kaki maut dilanggar motosikal

Seorang pejalan kaki yang sedang melintas jalan maut selepas dilanggar sebuah motosikal di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce pada malam Ahad. Gambar kredit PDRM

SIBU—Seorang pejalan kaki maut selepas dilanggar motosikal ketika hendak melintas jalan di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini, malam Ahad.


Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa yang masih belum dikenal pasti identiti maut serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala dan anggota badan.


Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, kemalangan berlaku ketika penunggang motosikal bergerak lurus dari arah lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce menghala ke lampu isyarat Sentosa.


"Ketika sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal terbabit  telah terlanggar seorang pejalan kaki yang melintas jalan. 


“Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans Hospital Sibu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan kes mengikut  Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 


Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes  itu boleh menghubungi Inspektor Muhammad Shafiq Dihanan di talian 016-4942092 untuk mengesan identiti mangsa.

Next Post Previous Post