Padah seleweng diesel bersubsidi, 4 pikap disita, setesen minyak digantung operasi



MIRI-- Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Miri menggagalkan cubaan menyeleweng diesel bersubsidi dalam Ops Bersepadu bersama pasukan Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri di Morsjaya di sini, semalam.


Ketua Cawangan Pejabat KPDNHEP  Cawangan Miri, Joe Azmi Jamil berkata,  pihaknya telah menahan empat buah pikap yang telah diubahsuai dalam serbuan jam 10.30 pagi itu.




Menurutnya, mereka menggunakan tangki tambahan yang diletakkan pada ruang belakang kenderaan yang disyaki bertujuan untuk penyelewengan minyak diesel bersubsidi. 


"Lima lelaki warga tempatan berusia 19 sehingga 50 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.



"Kelima-lima yang ditahan gagal untuk mengemukakan permit khas dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) untuk menjalankan aktiviti berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menjelas lanjut, katanya, barangan yang disita merupakan empat buah pikap bernilai RM207,000,  tiga pam elektrik, empat tangki tambahan,  1,693 liter diesel bernilai RM3,639.95. 



"Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM210,639.95. 


"Stesen minyak yang terbabit pula telah digantung operasinya serta merta sehingga siasatan kes selesai," ujarnya.



Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu diesel bersubsidi tanpa kebenaran Pengawal dan dibaca bersama seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. 




"Siasatan ke atas stesen juga sedang dilakukan dibawah Peraturan 21 PPKB 1974 sama ada melanggar syarat khas lesen. 


"Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan," katanya.

Next Post Previous Post