Lori kargo ditahan bawa muatan minyak masak lebih had


MUKAH-- Sebuah lori kargo membawa muatan minyak masak melebihi had dibenarkan ditahan dalam sekatan jalan raya pihak polis di Jalan Pan Borneo, Selangau-Sibu di sini, tengah hari semalam.


Lori terbabit ditahan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Mukah  jam 1.20 tengah hari.



Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, pemeriksaan yang dijalankan mendapati sebuah lori kargo membawa muatan minyak masak paket yang diletak dalam kotak.


"Hasil pemeriksaan didapati minyak masak paket terbabit merupakan barang kawalan yang dibawa melebihi had yang dibenarkan mengikut  syarat permit," katanya dalam kenyataan hari ini.



Katanya, lori kargo terbabit melakukan kesalahan mengikut peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) 1974.


"Kesemua minyak masak berjumlah 15,000 paket dan sebuah lori kargo telah dirampas, emandu lori kargo seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun bersama kelindan juga seorang lelaki tempatan beusia 27 tahun turut ditahan," ujarnya.

 

Beliau berkata, nilai keseluruhan barang rampasan minyak masak dan lori kargo berjumlah RM 157,000.


"Suspek dan barang rampasan diserah kepada pihak KPDNHEP Cawangan Mukah untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Next Post Previous Post