Kastam gagalkan cubaan seludup 106,730 kilogram rotan ke luar negara


KUCHING--Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menggagalkan cubaan menyeludup 106,730 kilogram rotan dianggarkan bernilai RM586,920 keluar negara.


Pemangku Pengarah JKDM Sarawak Mohd Nadzri Ariffin berkata, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuching telah melakukan pemeriksaan di Pelabuhan Senari, Kuching terhadap lapan buah kontena yang diikrar sebagai ‘pulp paper’ bagi tujuan eksport ke luar negara pada jam 11.15 pagi, 21 September lalu.



Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati barang yang diikrar tidak sama seperti dalam dokumen kastam yang diikrar oleh syarikat. 


"Oleh yang demikian, semua kontena tersebut telah ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut di Stor Penguatkuasaan JKDM, Jalan Demak Laut, Kuching. 


"Hasil pemeriksaan rapi telah menemui muatan rotan tanpa permit yang sah dari agensi berkaitan dengan berat keseluruhan 106,730 kilogram serta anggaran nilai sebanyak RM586,920 dan cukai yang terlibat sebanyak RM144,085.50," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya,berdasarkan pemeriksaan oleh pihak JKDM mendapati kesemua muatan rotan tersebut belum lulus kastam kerana tidak mempunyai permit yang sah daripada Sarawak Timber Industry Development Corporation (STIDC) serta duti eksport belum dibayar. 


"Sehubungan itu, agen penghantaran serta pemilik syarikat bagi barangan tersebut telah ditahan manakala barang kes dirampas untuk siasatan lanjut pihak JKDM.


"Modus operandi yang digunakan ialah syarikat telah membuat pengikraran palsu serta perakuan tidak benar dengan mengikrar barangan sebagai ‘pulp paper’ bagi tujuan mengelak daripada mengemukakan permit daripada agensi berkaitan serta mengelak daripada membayar cukai," tegasnya.


Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 di mana pesalah boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Next Post Previous Post