Kanak-kanak lelaki lemas, 9 selamat selepas bot karam

Anggota Bomba berada di lokasi mangsa bot karam di Kampung Rampaian Laut, Kota Belud, hari ini. Gambar kredit Bomba

KOTA KINABALU— Seorang kanak-kanak lelaki lemas manakala sembilan individu selamat selepas bot penumpang dinaiki mereka karam dalam kejadian di perairan Kampung Rampaian Laut, Kota Belud, hari ini.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Muhammad Syazwan Latun berkata kejadian berlaku kira-kira 1.05 tengah hari dan mangsa, Muhammad Hayrul Sufyan Fian yang berusia setahun ditemukan lemas oleh penduduk kampung sebelum kematiannya disahkan oleh pegawai perubatan.


Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 2.22 petang dan sepasukan anggota digegaskan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 21 kilometer dari balai bomba berkenaan.


"Difahamkan mereka (mangsa) ke Pulau Mantanani untuk melawat keluarga. Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang, bot dinaiki karam," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.


Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah dalam kenyataan memaklumkan bot itu membawa 10 penumpang masing-masing empat lelaki, tiga perempuan dan tiga kanak-kanak.


Sembilan daripada mereka berjaya menyelamatkan diri manakala seorang kanak-kanak lelaki ditemukan penduduk kampung dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.


Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada 4.15 petang.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post