Jentera pilihanraya PBB Telang Usan dilancarkan malan ini bagi membantu kempen calon kerusi Baram


MIRI--Jentera pilihan raya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Telang Usan akan dilancarkan semula bagi membantu dan memastikan kemenangan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Baram.


Pengerusi PBB Telang Usan, Dennis Ngau berkata, satu mesyuarat akan dibuat malam ini  bagi pengaktifan jentera pilihan raya terbabit.


"Struktur (jentera pilihan raya) adalah sama dengan apa yang kita gunakan semasa pilihan raya negeri yang lalu pada Disember tahun 2021," katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan kempen derma darah anjuran PBB Telang Usan ranting Long Lama Hulu dan Hilir.


Seramai 170 penderma berjaya menderma darah pada kempen dua hari itu bermula sejak Sabtu.


Turut hadir ialah setiausaha politik kepada Premier Sarawak Charles Balan Seling.


 "Kami bersedia menghadapi PRU15 dan jentera pilihan raya akan digerakkan ke kawasan parlimen Baram bagi memastikan GPS mengekalkan kerusi itu," katanya.


Pada PRU 15 ini, ahli parlimen Baram penyandang kawasan Parlimen Baram Dato Anyi Ngau berkemungkinan bertanding dan mempertahankan kerusi itu.


Anyi (9,182 undi) pertama kali memenangi kerusi itu pada 2013 menewaskan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Roland Engan (8,988) dan calon bebas -Patrick Sibat (363) dengan majoriti tipis 194 undi.


Pada 2018, Anyi mencatatkan kemenangan besar dengan majoriti sebanyam 1,990 undi dan menewaskan Roland Engan dari PKR buat kali kedua.


Anyi memperoleh 12,171 undi dan  mengekalkan kerusi itu manakala Roland berjaya mengutip 10,181 undi.

Next Post Previous Post