Isu pembayaran di Hospital Umum Sarawak, boleh guna tunai: Dr Ooi


KUCHING-- Boleh bayar tunai jika tidak dapat menggunakan sebarang kaedah tanpa tunai atau tiada akaun bank, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Ooi Choo Huck. 


Beliau berkata demikian bagi mengulas isu berkaitan kaedah pembayaran hanya tanpa tunai di Hospital Umum Sarawak (HUS) yang tular baru-baru ini. 


"Kenyataan ini dikeluarkan berikutan isu yang tular di media sosial baru-baru ini berkenaan pihak Pengurusan di Hospital Umum Sarawak hanya menerima kaedah pembayaran tanpa tunai di fasilitinya melalui kad kredit atau debit.


"Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak ingin memaklumkan bahawa para pelanggan adalah digalakkan untuk membuat bayaran secara tanpa tunai (melalui kad debit atau ATM, kad kredit dan e-dompet) di semua fasiliti KKM di Sarawak bermula pada 1 Oktober 2022,


"Ia selaras dengan usaha Kerajaan ke arah mewujudkan masyarakat digital," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Walau bagaimanapun, Dr Ooi berkata, para pelanggan masih lagi dibenarkan membuat pembayaran secara tunai sekiranya tidak dapat menggunakan sebarang kaedah tanpa tunai atau tiada akaun bank.

Next Post Previous Post