GPS sedia berdepan Baru Bian di Lawas, kata Tengah

Awang Tengah Ali Hasan

KUCHING—Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersedia untuk berhadapan dengan Baru Bian, bekas Menteri Kerja Raya sewaktu pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan yang dijangka akan menjadi calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) di P222 Lawas, kawasan terakhir dalam senarai parlimen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.


GPS, sebuah gabungan parti tempatan Sarawak terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) akan mempertahankankan kerusi Lawas, kata Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.


“Itu terpulanglah (kepada Baru hendak bertanding di Lawas) kerana kita mengamalkan demokrasi. Sesiapa pun boleh bertanding. GPS akan letakkan calon di semua 31 kawasan (Parlimen di Sarawak) dan bersedia menghadapi apa jua kemungkinan,” katanya menurut Bernama.


Terdahulu beliau menghadiri Pameran Usahawan Sarawak 2022 di sini hari ini. 


Parlimen Lawas menjadi antara kerusi “panas” di Sarawak menjelang PRU15 ini susulan pengumuman yang dibuat PBS untuk meletakkan Baru, yang juga penyandang Parlimen Selangau, terletak kira-kira 560km ke selatan dari Lawas, untuk bertanding di kawasan parlimen paling utara negeri ini.


Parlimen Lawas terdiri daripada dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan semasa Pilihan Raya Negeri ke 12 (PRN12) DUN Bukit Sari dimenangi Awang Tengah dengan majoriti 5,636 undi, sementara Baru memenangi DUN Ba’ Kelalan dengan majoriti 680 undi. 

Next Post Previous Post