Gelang ditempah tak tiba, wanita rugi RM 12,550

Zulkipli Suhaili

SIBU--Terpedaya membeli seutas gelang tangan dengan bayaran ansuran yang murah di laman sosial facebook, seorang penjawat awam wanita di sini, mengalami kerugian RM 12,550.


Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, mangsa berusia 45 tahun selepas itu diminta berurusan dengan suspek melalui aplikasi whatsapp.


"Mangsa telah membuat bayaran berjumlah RM12,550 secara ansuran sejak Januari hingga Mac lalu.


"Namun,gelang tangan 'pulut dakap' yang 

ditempahnya melalui penjual dalam talian belum diterimanya sehingga kini," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu telah menerima laporan berhubung kes itu pada 2 Oktober lalu.


"Mangsa telah membuat bayaran secara berperingkat melalui perbankan internet ke satu akaun dan dijanjikan barangan akan dipos ke alamatnya.


"Selepas pembayaran dibuat, mangsa telah menghubungi penjual yang memberikan pelbagai alasan dan sehingga kini barang kemas yang ditempah belum diterimanya," katanya.


Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penjualan barangan kemas secara dalam talian yang menawarkan harga lebih murah berbanding harga pasaran.


"Jangan mudah percaya dengan penjual yang menawarkan harga murah dan menjanjikan penghantaran tepat pada masa dan pastikan platform yang digunakan dalam talian benar-benar wujud terlebih dahulu 


"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," tegasnya.

Next Post Previous Post