Fadillah sekolahkan Guan Eng berhubung kuasa jalan negeri dan persekutuan


KUCHING-- Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyekolahkan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berhubung bidang kuasa jalan negeri dan jalan persekutuan pada sidang dewan rakyat semalam.


Katanya, kejadian lubang mendap besar di tengah Jalan Bagan Lallang di Butterworth adalah bidang kuasa kerajaan negeri, bukannya kerajaan persekutuan.


 

"Berdasarkan maklumbalas daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, Jalan Bagan Lallang dimaksudkan adalah jalan penghubung di antara Taman Mesra ke Taman Sentral sepanjang 0.10 kilometer. 


"Kejadian lubang mendap yang besar di tengah-tengah Jalan Bagan Lallang di Butterworth seperti mana yang dimaksudkan adalah disebabkan berlakunya kegagalan saluran paip kumbahan yang berada pada anggaran kedalaman tujuh meter," katanya.


Beliau menjawab pertanyaan Guan Eng berhubung kejadian lubang mendap besar di tengah Jalan Bagan Lallang, selain berapa lama masa diambil dan kos membaiki jalan berkenaan.


Fadillah berkata, pihak JKR telah memasang papan tanda bagi keselamatan pengguna yang menggunakan laluan itu.


"Kos membaiki jalan ini ialah sebanyak RM 50,000 berdasarkan tahap kerosakan dan jalan itu dijangka dibuka semula pada Jumaat ini," ujarnya.


Mengenai pampasan, katanya, pemaju akan membayar pampasan supaya tidak ada tuntutan mahkamah disebabkan jalan teruk yang boleh menyebabkan kecederaan.


"Cabaran kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan ialah paip yang lama menggunakan steel yang menyebabkan jalan pecah.


"Kementerian akan meminta peruntukan khusus pada tahun hadapan untuk pembinaan saluran paip yang lebih baik," jelasnya.


Sementara itu, menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhil Shaari, berhubung pemantauan terhadap Road Care,  syarikat  yang bertanggungjawab menyelenggara jalan, katanya, pemantauan dilakukan menerusi 'Aduan Jalan Kementerian Kerja Raya'.


"Saluran yang boleh digunakan untuk membuat aduan ialah media sosial, sistem pesanan ringkas(sms) Dan emel.


"Kita juga memantau syarikat konsesi supaya setiap aduan diambil tindakan dalam tempoh 24 jam, kecuali kes besar seperti runtuhan dan sebagainya yang memakan masa agak panjang," katanya.

Next Post Previous Post