Dana kekayaan berguna bila keadaan memerlukan - Abang Jo

Abang Johari (tengah) pada majlis makan malam ulang tahun kelima The Development Bank of Sarawak (DBOS) di sini malam ini. Gambar kredit Ukas

KUCHING-- Cadangan menubuhkan dana kekayaan berdaulat akan memberi manfaat kepada Sarawak terutamanya bagi menjana lebihan dana untuk keadaan yang memerlukan. 


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata cadangan dana itu yang dijangka dibentang pada sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak bulan depan, juga akan diuruskan secara profesional, lapor Bernama.


Beliau berkata menerusi dana itu Sarawak melihat kepada usaha menyediakan pendidikan berkualiti dan percuma kepada anak Sarawak serta untuk menghantar bakat muda ke universiti terkemuka dunia untuk mencari ilmu dan kemahiran.


“Bakat ini adalah penting dan saya menjangkakan mereka untuk menjadi ‘bijak dan tangkas’ serta mampu memberitahu kami apa yang perlu dibuat dan menyumbang kepada kemajuan dan kelestarian jangka panjang Sarawak,” kata beliau dalam ucapannya pada majlis makan malam ulang tahun kelima The Development Bank of Sarawak (DBOS) di sini malam ini. 


Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak juga menghantar pasukan ke Norway, Singapura dan London untuk mengkaji model terbaik untuk pelaksanaan dana kekayaan itu.

 

“Dana kekayaan kita akan berasaskan ‘Prinsip Santiago’ dan akan diuruskan secara profesional oleh lembaga pengarah daripada profesion dan latar belakang berbeza,” katanya.


Sementara itu Abang Johari berkata DBOS ditubuhkan pada Mei 2017, empat bulan selepas beliau menjadi Ketua Menteri pada Jan 2017.


Beliau berkata DBOS dilancarkan dengan modal berbayar RM500 juta daripada dana rizab Sarawak dan diberikan mandat untuk membiayai projek prasarana strategik di bawah Pelan Transformasi Negeri.   


“Sarawak mempunyai tanah yang luas dan bagi memenuhi aganda pembangunannya akan memerlukan pelaburan modal yang besar. Sarawak perlu mengawal pembangunannya dan tidak membiarkan pihak lain menjalankannya untuk kita,” kata beliau.

Next Post Previous Post