Agong, PM bincang mesyuarat pra-Kabinet - Istana Negara

PM bincang mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara
Majlis menghadap Agong hanya mesyuarat pra-Kabinet. Gambar kredit Istana Negara  

KUALA LUMPUR—Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara hari ini.


Menurut catatan di Facebook Istana Negara, mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berhubung urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.


Turut dimuat naik empat keping gambar menunjukkan Ismail Sabri mengadakan perbincangan bersama Seri Paduka.


Pergerakan Perdana Menteri hari ini menjadi tumpuan media susulan spekulasi mengenai pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bertiup kencang.


Pada Selasa, Ismail Sabri mengesahkan beliau akan menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada hari ini, dan banyak spekulasi mengaitkan pertemuan itu bagi memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pembubaran Parlimen.


Perdana Menteri memasuki pintu pagar utama Istana Negara pada 3.49 petang dengan menaiki kenderaan rasmi kerajaan dan sempat melambai ke arah petugas media yang menanti sejak pagi, sebelum dilihat meninggalkan pekarangan Istana Negara pada 4.45 petang.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.