5 produk kosmetik beracun dikesan, KKM batal notifikasi

Sebahagian produk kosmetik yang dibatalkan dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia. Gambar kredit KKM

KUALA LUMPUR —Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi lima produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk tersebut ialah Sweet 13 Skincare Treatment Cream, Ninaskincare Skin Puteh Moisturizer dan Skin Dessert Cream, masing-masing mengandungi merkuri manakala Haemun Cream mengandungi miconazole dan Karisma Birds Nest Gel (hydroquinone dan tretinoin).


“Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik itu dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan, jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.


Katanya, hidrokuinon boleh menyebabkan kemerahan pada kulit disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultraungu berbahaya dan meningkatkan risiko kanser kulit.


Beliau berkata penggunaan tretinoin tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.


Selain itu, anti-fungal (miconazole) yang diguna secara tidak terkawal boleh meningkatkan risiko kerintangan seterusnya mengurangkan keberkesanan untuk merawat jangkitan pada masa hadapan. 


“Merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf serta mengganggu perkembangan otak kanak-kanak kecil atau belum dilahirkan,” katanya menambah ia juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.


Dr Noor Hisham berkata penjual dan pengedar produk kosmetik itu perlu menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta-merta kerana ia melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.


Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.


Syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. 


Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post