39 bulan rakyat seluruh negara amat sengsara, kata Zahid


BERA— Kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN) berjaya membawa lebih banyak kejayaan dan kestabilan walaupun hanya mentadbir negara kira-kira 15 bulan sebelum Parlimen dibubarkan, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Beliau berkata kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menunjukkan prestasi lebih cemerlang berbanding dua perdana menteri sebelumnya, dan ia boleh diteruskan sekiranya rakyat memberi sokongan dominan kepada calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti., lapor BERNAMA.


"Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan yang menjanjikan pelbagai janji telah tidak dapat menunaikan janji dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selama 17 bulan tidak dapat membaiki kesilapan yang dibuat kerajaan 22 bulan malah (mereka) mengisytiharkan darurat dan rakyat semakin sengsara. 


"Selama 39 bulan rakyat seluruh negara amat sengsara dan Allah takdirkan kita (kemudiannya) ber-perdana menterikan seorang daripada UMNO, BN," katanya semasa berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran serta Pelancaran Jentera BN Pahang di Laman Kerayong, di sini, hari ini. 


Turut hadir Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dan Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan BN peringkat pusat serta negeri. 

 

PRU15 akan diadakan pada 19 Nov ini dengan penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal 15 Nov ini.


Meminta jentera parti bekerja keras bagi membolehkan BN memperoleh kemenangan besar pada PRU15, Ahmad Zahid berkata walaupun banyak gabungan parti politik menawarkan diri untuk mentadbir negara, namun tiada gabungan yang lebih baik daripada BN. 


Beliau juga berharap BN dapat mengulangi kemenangan besar pada beberapa siri pilihan raya sebelum PRU14, khususnya kemenangan pada PRU11 yang bukan hanya menyaksikan BN menang dua pertiga, malah berjaya menjadikan pembangkang sebagai 'suara kerdil' di Dewan Rakyat.


Untuk rekod, pada PRU11 tahun 2004, BN pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi memenangi majoriti besar sebanyak 198 daripada 219 kerusi dan berjaya merampas Terengganu daripada PAS.


Ketika berucap, Ahmad Zahid memberi bayangan bahawa Wan Rosdy akan terus terus menerajui pimpinan kerajaan negeri jika BN berjaya mengekalkan kemenangan di Pahang pada pilihan raya negeri yang diadakan serentak dengan peringkat Parlimen pada PRU15. 


Antara faktor kecemerlangan pentadbiran BN, menurut Ahmad Zahid ialah kejayaan Wan Rosdy mengurangkan hutang kerajaan negeri daripada RM3.3 bilion kepada RM952 juta sejak menerajui pimpinan kerajaan negeri pada tahun 2018. 


Beliau juga optimis sasaran BN Pahang untuk memperoleh 30 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat dicapai.


Pada PRU14, BN menang 25 daripada 42 kerusi DUN di Pahang, manakala PH memperoleh sembilan dan bakinya dimenangi PAS. 

Next Post Previous Post