2 penganggur ditahan miliki dadah bernilai RM236,000



KOTA BHARU— Polis Kelantan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM236,000 selepas menahan dua penganggur lelaki, disyaki anggota sindiket pengedaran dadah dalam dua serbuan berasingan di Tanah Merah, Selasa lepas.


Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata dalam serbuan pertama sebanyak 435 gram heroin dirampas bernilai RM200,000 manakala rampasan kedua pula membabitkan satu kilogram (kg) syabu bernilai RM36,000.


"Suspek pertama berusia 22 tahun ditangkap dekat Kampung Cherang Lali manakala suspek kedua yang berusia 40 tahun tinggal di Kampung Kusial Baru didapati positif methampethamine dan mempunyai rekod lampau iaitu lapan kes narkotik di Kampung Kusial Baru.


"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 5 Oktober lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.


Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata empat suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 45 hingga 70 tahun telah ditahan reman bagi membantu kes pemalsuan dokumen yang menyerupai surat dikeluarkan oleh Pejabat Sultan Kelantan.


Katanya, surat itu dikatakan mengandungi titah kononnya Sultan Kelantan telah memberi perkenan menyokong penuh usaha sama antara tiga buah syarikat untuk melaksanakan satu projek di sebuah jajahan di Kelantan.


"Pengadu membaca mesej di aplikasi WhatsApp yang disertakan imej sekeping surat bertarikh 15 September 2022 mengandungi tandatangan pengadu.


"Pengadu menafikan tidak pernah mengeluarkan surat ini dan mengesyaki terdapat individu yang tidak bertanggungjawab telah menyamar sebagai pengadu dan menandatangani surat palsu tersebut," katanya.


Beliau berkata laporan polis dibuat oleh pengadu yang juga pegawai istana Isnin lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post