-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Taufan Nanmadol: Jepun arah 800,000 penduduk berpindah

| September 18, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-09-18T05:16:27Z

TOKYO-- Pihak berkuasa Jepun mengarahkan lebih 800,000 penduduk di barat daya negara itu untuk berpindah sebelum Taufan Nanmadol yang sangat kencang melanda, lapor media pada Sabtu.


Arahan berpindah dikeluarkan kepada 388,000 penduduk Wilayah Kagoshima, 76,000 penduduk bandar Asakusa Wilayah Kumamoto dan kira-kira 400,000 penduduk ibu kota wilayah Miyazaki di tenggara Pulau Kyushu, lapor Sputnik memetik laporan penyiar Jepun NHK.


Ribut dijangka melanda pada tahap empat daripada lima tahap ancaman.


Pihak berkuasa menggesa pemindahan diselesaikan segera, sebelum pengumuman tahap amaran tahap kelima, yang mungkin berisiko kepada nyawa manusia.


Pihak berkuasa turut mengingatkan penduduk tentang langkah-langkah yang perlu jika bekalan elektrik terputus dan kekurangan bekalan air.


Taufan Nanmadol yang mendapat nama sempena monumen budaya Mikronesia - tapak arkeologi Nan Madol, bergerak perlahan menuju barat laut ke arah pulau-pulau di selatan Jepun. Pegawai menjangkakan ia akan menghampiri Kepulauan Amami di wilayah Kagoshima dan pulau barat daya Kyushu pada Ahad hingga Isnin, menurut NHK.


Tekanan pada tengah taufan ialah 910 hektopascal (0.8 atm), dan kelajuan angin di tengah ialah 123 batu sejam, dengan kelajuan tiupan sehingga 167 batu sejam.


Pakar juga memberi amaran bahawa ketinggian ombak boleh mencapai 39 kaki (11.89 meter). Pegawai berkata bahagian selatan Pulau Kyushu boleh mendapat curahan hujan sebanyak 500 milimeter dalam tempoh 24 jam pada Ahad.


Lebih 450 penerbangan yang menghubungkan wilayah barat daya Jepun dengan seluruh negara dan perkhidmatan feri dibatalkan kerana taufan yang semakin hampir. Perkhidmatan kereta api juga mengalami kelewatan.


Menjelang petang Ahad, taufan kuat itu dijangka tiba ke pulau utama Jepun, Honshu dan terus bergerak ke timur laut. Dari malam Ahad hingga Isnin, taufan itu sepatutnya menghampiri wilayah Kansai, wilayah metropolitan Osaka, Kyoto dan Kobe.

-- BERNAMA


×
Berita Terbaru Update