Sekolah antarabangsa Sarawak mahu hasilkan jaguh dunia, bukan jaguh kampung - Abg Jo

Abang Jo semasa acara 'Fun Ride and Moment with Premier Sarawak' di Sekolah Antarbangsa Yayasan Sarawak di Petra Jaya hari ini. Gambar kredit Sarawakku|Pejabat Premier Sarawak

KUCHING-- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berharap Sekolah Menengah Antarabangsa di bawah Yayasan Sarawak mampu menghasilkan lulusan yang berkemahiran dan berkelayakan untuk bersaing dalam pasaran kerja global.


Katanya ini termasuk memiliki penguasaan Bahasa Inggeris yang baik yang diperlukan pada peringkat antarabangsa.



Abang Johari berkata pendidikan sentiasa diberi penekanan di bawah kepimpinannnya bagi melahirkan rakyat Sarawak yang bijak yang akan berkhidmat untuk negara pada masa depan.


“Oleh sebab itulah kerajaan Sarawak memutuskan bahawa kita mesti mempunyai sekolah sendiri yang melahirkan pelajar bertahap antarabangsa, bukan jaguh kampung tapi jaguh dunia.


“Jika mereka (pelajar) adalah juara dunia mereka memasuki universiti terkemuka, apabila mereka pulang mereka boleh membantu mengubah ekonomi kita,”


“Anda kini mempunyai saluran untuk meneruskan pengajian, anda boleh membangunkan Sarawak seperti Korea Selatan sebagai negara yang membangun pada masa hadapan,” katanya ketika berucap selepas acara ‘Fun Ride and Moment with Premier Sarawak’ di Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Petra Jaya hari ini.


Terdapat lima buah Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak iaitu di Petra Jaya, Semenggoh, Sibu, Miri dan Bintulu.


Sekolah di Petra Jaya merupakan yang pertama memulakan operasi pada Mei lepas.


Premier Sarawak itu berkata bagi kemasukan, pelajar dari kumpulan B40 ditawarkan biasiswa penuh, manakala pelajar dari kumpulan M40 dan T20 membayar yuran bulanan pada kadar minima.


Beliau berkata kerajaan negeri juga telah memperoleh aset dalam sektor pendidikan seperti menerusi Universiti Curtin, Swinburne University dan Centre of Technical Excellence (CENTEXS).


-- BERNAMA

Next Post Previous Post