Sarawak tubuh SUTMAC tangani masalah trafik di bandar

Sarawak tubuh SUTMAC tangani masalah trafik di bandar, Isu yang menjejaskan aliran trafik dan pergerakan pengangkutan di kawasan bandar
Datuk Seri Lee Kim Shin

KUCHING— Sebuah jawatankuasa pengurusan trafik bandar dibentuk di bawah Kementerian Pengangkutan Sarawak bagi membincangkan dan menyelaras isu yang menjejaskan aliran trafik dan pergerakan pengangkutan di kawasan bandar di negeri ini.


Menteri Pengangkutan negeri Datuk Seri Lee Kim Shin dalam kenyataan hari ini berkata pembentukan Jawatankuasa Pengurusan Trafik Bandar Sarawak (SUTMAC) yang diluluskan oleh kerajaan negeri pada 25 Ogos lepas, adalah selaras dengan kepesatan pembangunan di pekan dan bandar utama di Sarawak.


“Kemajuan projek perumahan yang dibina hampir di setiap ruang yang ada di dalam kawasan bandar, menyebabkan terdapat hanya sedikit ruang untuk kenderaan bermotor bergerak tanpa tersekat di persimpangan lampu isyarat atau tanpa lampu isyarat, yang mengakibatkan kesesakan,” katanya. 


Beliau berkata antara 2006 hingga 2019, infrastruktur jalan raya yang menghubungkan bandar, pekan dan kampung di Sarawak telah dipanjangkan daripada 13,231 kilometer (km) kepada 305,528km dan jumlah trafik masa kini telah mencecah magnitud yang boleh mengancam keselamatan di jalan raya.


“Di Sarawak, kita mempunyai agensi negeri dan Persekutuan yang bertanggungjawab mengawal aliran lalu lintas dan pembinaan infrastruktur serta kemudahan di jalan. Agensi berkenaan bekerja mengikut portfolio, peranan dan fungsi masing-masing, yang kadangkala mempunyai agenda dan keutamaan sendiri,” katanya.


Lee berkata SUTMAC akan menjadi forum kepada semua pihak berkepentingan yang berkaitan untuk duduk bersama menyelaraskan isu yang menjejaskan aliran trafik bandar dan pergerakan pengangkutan untuk memberi cadangan satu sistem yang boleh mewujudkan pergerakan orang ramai dan barangan dengan selamat, teratur dan cekap, pada masa yang sama melindungi alam sekitar.


“SUTMAC akan melihat kepada masalah trafik bersama-sama dan mengesyorkan program, projek dan inisiatif yang bersepadu dan selaras untuk menyelesaikan masalah dalam kaedah lebih berkoordinasi kepada kerajaan,” katanya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.