Pinjaman PTPTN kepada golongan M40 (M1) dinaikkan 100 peratus - P


KUALA LUMPUR— Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada golongan M40 (M1) dinaikkan daripada 75 peratus kepada 100 peratus.


Selain itu, Ismail Sabri berkata kerajaan juga bersetuju untuk menyediakan kemudahan pinjaman komputer riba kepada peminjam PTPTN golongan M40, sebagai antara usaha kerajaan menjaga kepentingan mahasiswa Keluarga Malaysia.


“Percayalah, kerajaan sentiasa menjaga kepentingan mahasiswa dan mahasiswi…banyak lagi yang akan kita umumkan demi kepentingan mahasiswa dan mahasiswi sekalian,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi 2022 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini.


Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang.


Pasa masa sama, Perdana Menteri berkata beliau dimaklumkan oleh Noraini bahawa Jualan Murah Keluarga Malaysia akan diadakan di setiap institut pengajian tinggi (IPT) mulai Oktober bagi menangani isu peningkatan kos sara hidup dalam kalangan mahasiswa.


Sementara itu, Ismail Sabri menyeru mahasiswa supaya terus berjuang mengekalkan jati diri, budaya dan bahasa dengan memainkan peranan penting sebagai pembina bangsa dan memaknakan kemerdekaan sepertimana pembina bangsa terdahulu memperjuangkan kemerdekaan.


Perdana Menteri turut menyeru mahasiswa Keluarga Malaysia agar memberikan komitmen dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai satu cara untuk menyatakan kecintaan kepada negara.


“Saya juga menggunakan bahasa Melayu ketika berucap di pentas antarabangsa.


“Baru-baru ini, pengarah filem tersohor negara U-Wei Saari memecahkan tradisi Festival Filem Antarabangsa di Moscow (Rusia) apabila menyampaikan ucapan dan mengumumkan nama pemenang menggunakan bahasa Melayu,” katanya.


Menurut Perdana Menteri dalam konteks pendidikan tinggi, banyak cara dan perkara boleh dilakukan dalam menzahirkan semangat patriotik dan perjuangan terpenting mahasiswa ketika ini adalah kekal menjadi benteng teguh dalam memastikan hubungan Keluarga Malaysia yang majmuk terus erat.


Sementara itu, Ismail Sabri berkata semangat mencintai negara dalam kalangan mahasiswa hendaklah terus digilap dan dipupuk serta dipertahankan menerusi pelbagai wahana berbentuk kenegaraan.


“Saya percaya mata pelajaran umum atau MPU yang dilaksanakan di IPT mampu memperteguh penghayatan mahasiswa sekalian kepada etika dan peradaban masyarakat pelbagai etnik di Malaysia,” katanya.


Ismail Sabri berkata mahasiswa perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan keperibadian unggul bagi membuktikan mereka ialah pewaris legasi kemerdekaan negara, yang berjiwa nasional dan penuh wibawa.


Sesuai dengan tema program hari ini, ‘Mahasiswa Patriotik Keluarga Malaysia’, Perdana Menteri turut yakin golongan itu akan berupaya menjelmakan satu gelombang momentum semangat kesetiaan dalam melaksanakan kewajipan sebagai benteng kedaulatan dan maruah negara.


“Berpeganglah pada lima prinsip Rukun Negara dengan pasakkan tekad yang teguh untuk tetap bersatu dalam kepelbagaian dan jangan sekali-kali membiarkan anasir luar mengganggu-gugat kesepaduan kita.


“Mari berganding bahu demi merealisasikan masa hadapan lebih gemilang buat Malaysia tercinta, dan kita paterikan janji keramat untuk memastikan Jalur Gemilang sentiasa berkibar megah di persada jaya,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post