Pekebun durian didakwa edar lebih 841 kilogram dadah


BENTONG—Seorang pekebun durian dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 841.06 kilogram dadah jenis Methamphetamine, bulan lepas.


Lee Kok Choong, 61, didakwa mengedar dadah itu di sebuah rumah di Taman Anggerik, di sini kira-kira 9 malam, 20 Ogos lepas.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.


Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Qasiratul Jannah Usmani Othman kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nor Azura Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 


Mahkamah menetapkan 1 Nov depan untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.


Media baru-baru ini melaporkan polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dan pengedaran tempatan selepas merampas 841.06 kilogram syabu dianggar bernilai RM30.8 juta di sebuah rumah di sini pada 20 Ogos lepas.


Dadah berkenaan dikatakan dijual di pasaran pada harga anggaran RM36,000 sekilogram serta boleh digunakan seramai kira-kira 4.2 juta penagih.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post