Najib dimasukkan ke wad, bicara kes 1MDB dilapangkan


KUALA LUMPUR-- Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan bersambung hari ini, telah dilapangkan kerana bekas perdana menteri itu dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah mengalami masalah tekanan darah.


Peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya itu tidak akan dapat hadir ke mahkamah hari ini dan mungkin juga esok.


“Datuk Seri Najib telah jatuh sakit dan beliau kini dimasukkan ke wad di HKL sejak semalam. Saya diberitahu setakat pagi ini pada 7.30 pagi dan 9.30 pagi, ujian tertentu akan dilakukan ke atas beliau yang mungkin mengambil masa beberapa hari lagi. Yang pasti, hari ini cuti Yang Arif, saya rasa esok juga mungkin beliau tidak dapat hadir.


“Beliau mengalami masalah kesihatan, kerana tekanan darahnya didapati turun naik. Puncanya tidak dapat dikesan jadi mereka sedang melakukan yang terbaik,” katanya.


Menurut peguam itu, Najib akan dipindahkan dari HKL ke Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.


"Ada kemungkinan, malah dipastikan bahawa pemindahan dari HKL ke IJN akan berlaku," kata Muhammad Shafee.


Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam tidak membantah penangguhan yang ditetapkan oleh Hakim Sequerah pada petang esok untuk sebut semula kes bagi mendapatkan perkembangan terkini keadaan tertuduh.


Semalam, perbicaraan kes tersebut telah ditangguhkan sehingga 12.30 tengah hari selepas Timbalan Pendakwa Raya kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa pada pukul 2 petang, Najib perlu dibawa ke hospital untuk rawatan perubatan kerana ubat tekanan darah yang beliau makan memberi kesan buruk kepadanya.


Gopal Sri Ram memberitahu Hakim Sequerah bahawa beliau dimaklumkan oleh pegawai Jabatan Penjara Kajang bahawa keadaan Najib yang "agak teruk".


Perbicaraan dijadualkan disambung semula sehingga Khamis ini. Semalam, Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-37.


Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.


Pada 23 Ogos, Najib dihantar ke penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post