Kemalangan di Jalan Semarak: Pasangan suami isteri miliki rekod lampau berkaitan dadah ditangkap


KUCHING-- Kes kemalangan di Jalan Semarak antara motosikal dan kereta yang tular di media sosial, pasangan suami isteri berjaya ditangkap dalam tempoh empat jam selepas kejadian semalam. 


Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata, pasangan suami isteri terbabit merupakan warga tempatan yang berusia 29 tahun, masing-masing mempunyai tujuh dan tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah. 


"Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian itu yang melibatkan sebuah motorsikal yang ditunggang oleh dua lelaki tempatan yang telah dilanggar sebuah kenderaan Perodua yang dinaiki oleh suspek, sepasang suami isteri. 


"Kejadian berlaku sekitar jam 5.20 petang di Jalan Semarak, dipercayai berpunca dari salah faham antara suspek dengan penunggang motosikal berkenaan sebelum ini," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Jelasnya lagi, dalam kejadian ini penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan akibat ditampar oleh suspek. 


"Suspek dan pasangan telah ditangkap empat jam selepas kejadian," katanya sambil menambah pasangan terbabit direman sehingga 17 September ini untuk siasatan lanjut. 


Kata Merbin, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yajg membawa hukuman penjara tidak kurang dari 1 tahun dan tidak lebih dari 5 tahun atau denda atau kedua-duanya. 


Selain itu, beliau memberitahu, pasangan terbabit juga disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara setahun atau denda rm2000.00 atau kedua-duanya.


"Polis menasihati orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dengan berhenti di tengah jalan raya kerana boleh membahayakan diri dan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. 


"Sebarang maklumat jenayah boleh disalurkan terus dengan menghubungi pusat kawalan ipd kuching di talian 082-244444 atau menyalurkan maklumat di balai polis yang berhampiran," ujarnya.

Next Post Previous Post