Nahas helikopter, juruterbang maut

Keadaan bangkai pesawat jenis Eurocopter yang terhempas di Hutan Simpan Chikus dan mengorbankan seorang juruterbang warganegara Hong Kong. Gambar kredit Bomba

TAPAH— Juruterbang sebuah helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor sejak petang semalam, ditemukan mati di lokasi kejadian, kata Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.


Beliau berkata mayat juruterbang itu ditemukan di dalam kokpit helikopter tersebut oleh pasukan pencari dan penyelamat pagi tadi.


Keadaan bangkai pesawat jenis Eurocopter yang terhempas di Hutan Simpan Chikus dan mengorbankan seorang juruterbang warganegara Hong Kong. Gambar kredit Bomba


“Helikopter milik pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menemui lokasi nahas kira-kira 9.30 pagi di Hutan Simpan Chikus di sini. Lima minit kemudian, krew TUDM turun ke lokasi nahas dan menemui mangsa yang berada di dalam kokpit.


“Mayat kemudian dibawa keluar dari lokasi kejadian pada 10.12 pagi dan seterusnya dibawa ke SMK Anderson menggunakan sebuah ambulans, sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat. Kecederaan dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya di Bilik Gerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Balai Polis Bidor, kira-kira 80 kilometer dari Ipoh hari ini.


Mayat juruterbang dibawa keluar oleh pasukan TUDM ke padang SMK Anderson pagi tadi. Gambar kredit RTM


Beliau berkata siasatan mendapati juruterbang tersebut dikenali sebagai Tsz Kin Richard Chan, 58 tahun merupakan warganegara Hong Kong dan keluarganya telah dimaklumkan oleh pihak syarikat.


 
Menurutnya, bangkai pesawat jenis Eurocopter milik sebuah syarikat swasta itu telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), untuk tindakan dan siasatan lanjut.


Semalam Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata pesawat itu terputus hubungan pada kira-kira pukul 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.


Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.


Sementara itu Wee dalam hantaran terbaharu di Facebook memaklumkan, pihaknya masih menunggu laporan hospital untuk mengesahkan punca dan waktu kematian mangsa, selain telah mengarahkan CAAM untuk menyediakan laporan lengkap.


Sementara itu CAAM dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan mengenai kejadiaan tersebut akan dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia, mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.


“CAAM ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. CAAM juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua anggota pasukan SAR,” menurut kenyataan tersebut.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post