Insiden pergaduhan di Jalan Wayang, seorang lagi suspek ditangkap


KUCHING-- Seorang lagi suspek ditangkap menjadikan keseluruhan jumlah individu diberkas dalam insiden pergaduhan adalah tujuh orang setakat ini, kata Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa. 


Jelasnya, suspek terbabit dikatakan cedera ditangkap malam tadi. 


Suspek dipercayai hanya mengalami cedera ringan. 


"Dengan tertangkapnya seorang lagi suspek malam tadi menjadikan jumlah keemua mereka yang ditangkap adalah tujuh orang," katanya ketika dihubungi hari ini. 


Difahamkan, insiden pergaduhan itu tercetus apabila sekumpulan lelaki tempatan diminta keluar meninggalkan sebuah premis hiburan kerana membuat gangguan. 


Bagaimanapun, mereka kembali semula di premis hiburan tersebut dan berlaku pergaduhan dengan satu kumpulan yang berada dalam premis berkenaan. 


Insiden ini tidak menyebabkan kecederaan yang serius. 


Semalam, enam lelaki tempatan diberkas bagi membantu siasatan kes kejadian pergaduhan yang berlaku di Jalan Wayang di sini malam Sabtu. 


Merbin berkata, suspek berusia antara 25 hingga 57 tahun ditangkap selepas polis menerima laporan sekitar jam 7.49 malam berhubung kejadian tersebut. 


"Kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki tempatan di Jalan Wayang, setakat ini seramai enam lelaki tempatan telah ditangkap bagi membantu siasatan," katanya. 


Tegasnya, tindakan mengesan saki baki suspek yang masih bebas masih giat dijalankan. 


Mengulas lanjut kes itu, Merbin berkata, kejadian berlaku berpunca daripada salah faham semasa berhibur di salah sebuah premis berhampiran. 


"Kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh," tegasnya. 


Tambahnya, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya. 


Oleh itu, beliau mengingatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih kerana ia akan mengganggu siasatan yang dijalankan. 


"Pihak polis juga mengalukan orang ramai untuk salurkan maklumat terus kepada pusat kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya lagi.

Next Post Previous Post