-->

Notification

×

Iklan

Iklan

GPS tingkat persediaan hadapi PRU15, Nanta

| September 18, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-09-18T07:55:38Z
Nanta Linggi semasa melawat Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) di Kampung Bunan di sini, hari ini.


SERIAN-- Gabungan Parti Sarawak (GPS) meningkatkan persediaannya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam bahawa tarikh pembubaran Parlimen akan diumumkan tidak lama lagi.


Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS sememangnya sentiasa menjalankan tugas di lapangan bagi memastikan rakyat terbela, bukan sahaja menjelang pilihan raya, agar parti itu sentiasa relevan.


Beliau berkata ketika ini Sarawak baru tidak sampai setahun melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN), dan semua ADUN GPS sentiasa terus bekerja bersungguh-sungguh di lapangan bagi memastikan kemenangan gabungan itu dalam setiap pilihan raya.


"GPS sentiasa memastikan rakyat terbela seperti yang telah kita janjikan, kita tidak perlu hendak tunggu PRU menjelang baru nak bersedia," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu selepas melawat Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) di Kampung Bunan di sini, hari ini.


Sementara itu Nanta berkata KPDNHEP akan terus mengadakan program JMKM agar lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada program itu terutamanya bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.


Katanya setakat 15 Sept, KPDNHEP Sarawak telah melaksanakan program JMKM di 118 lokasi di Sarawak.


"Pencapaian ini adalah kesinambungan dari kejayaan KPDNHEP Sarawak melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia di 196 lokasi, (melibatkan) semua 31 kawasan Parlimen, dengan merekodkan 267,978 pengunjung dan jualan mencecah RM5.917 juta, dari Disember 2021 hingga Ogos lepas," katanya.


JMKM menawarkan barang keperluan harian pada harga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran setempat dalam usaha meringankan bebanan kos sara hidup rakyat.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update