Geng Batam: Sindiket pecah kereta guna tangkal, jampi serapah tumpas

Empat ahli Geng Batam kini direman bagi siasatan lanjut. Gambar kredit PDRM

MELAKA— Polis Melaka menumpaskan satu sindiket pecah kereta yang didalangi warga Indonesia dikenali sebagai Geng Batam selepas menahan empat ahli kumpulan itu pada 14 Sept lepas. 


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata kesemua lelaki berumur antara 22 hingga 41 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berasingan di Senai, Johor Bahru kira-kira 9.30 malam pada hari berkenaan.


Beliau berkata Geng Batam itu didapati bergerak aktif sejak awal bulan ini dengan menggunakan kenderaan yang disewa di Johor untuk ke Melaka bagi melakukan jenayah pecah kereta, malah suspek menggunakan tangkal dan jampi serapah bagi mengaburi jenayah mereka dikesan pihak berkuasa.


“Dalam serbuan itu, polis turut menjumpai barang-barang berserta ayat-ayat dan kalimah jampi serapah yang dipercayai digunakan semua suspek sebagai tangkal atau pendinding… Turut dirampas ialah pakaian yang dipakai semasa kejadian, beberapa unit telefon bimbit, lampu suluh dan kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Christopher berkata modus operandi digunakan kumpulan terbabit adalah dengan menyasarkan kenderaan yang mempunyai barang berharga sebelum bertindak memecahkan cermin menggunakan serpihan seramik daripada palam pencucuh.


“Dengan tertangkapnya kumpulan Geng Batam ini pihak polis berjaya menyelesaikan sebanyak lapan kes jenayah pecah cermin kereta di dalam daerah Melaka Tengah. Kesemua suspek kini direman bagi siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

 

Pihak polis juga menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak meninggalkan barang berharga di dalam kenderaan yang akan membuka peluang kepada penjenayah. 


--  BERNAMA

Next Post Previous Post