Duda malas bekerja maut dipukul rakan serumah


ALOR SETAR—Seorang lelaki maut semalam selepas dipercayai dipukul rakan serumahnya di Taman Gemilang, Sungai Lalang dekat Bedong, sejak sebulan lepas.


Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata buruh kontrak berusia 39 tahun itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.


“Mangsa dihantar ke hospital oleh rakan serumahnya (suspek) dan kematiannya disahkan oleh doktor yang bertugas di Zon Merah Jabatan Kecemasan HSAH pada 3.40 petang.


“Doktor berkenaan mendapati mangsa mengalami kecederaan di seluruh badan dan beliau yang mengesyaki mangsa mungkin dipukul telah menghubungi polis bagi memaklumkan perkara itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.


Zaidy berkata sepasukan anggota polis telah ke HSAH untuk menjalankan siasatan dan doktor yang melakukan pemeriksaan mendapati kesan kecederaan pada tubuh mangsa adalah akibat dipukul sejak sebulan lepas.


“Hasil pemeriksaan mendapati telinga kanan mangsa bengkak, kesan luka di tangan kanan dan kiri, kesan pukul di kedua-dua bahagian peha serta luka di badan.


“Polis telah mengambil keterangan bekas isteri mangsa dan dimaklumkan bahawa mangsa bersama seorang anaknya tinggal di rumah rakan lelaki, yang merupakan suspek kes ini. Beberapa jiran juga mendakwa ada terdengar pergaduhan antara mangsa dan suspek,” katanya.


Zaidy berkata susulan itu, pihaknya menahan suspek yang berusia 36 tahun dan suspek mengaku pernah memukul mangsa menggunakan kayu serta tangan sejak sebulan lepas kerana mangsa tidak mahu bekerja selain kerap memukul anaknya sendiri.


“Siasatan awal mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan jenayah. Suspek direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dan menambah mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk bedah siasat.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post