Datuk ditahan kes tuntutan palsu lebih RM7 juta
KUALA LUMPUR-- Seorang pengarah urusan sebuah syarikat bergelar Datuk ditahan selepas disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM7 juta bagi projek pembinaan sebuah bangunan dengan kos keseluruhan berjumlah lebih RM100 juta di Terengganu.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), permohonan reman terhadap lelaki berusia 54 tahun itu telah dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan lelaki terbabit direman tiga hari bermula hari ini sehingga Khamis (15 Sept).
"Suspek dipercayai mengemukakan tuntutan sejak 2020 hingga Mei tahun ini dan ditahan di pejabatnya di Shah Alam, semalam," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.