-->

Notification

×

Iklan

Iklan

CEO GLC dan GLIC, ahli badan kehakiman perlu isytihar harta kepada SPRM

| September 19, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-09-19T11:28:24Z

KUALA LUMPUR—Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) termasuk ahli Badan Kehakiman, perlu mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ketetapan itu diputuskan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR), yang turut memaklumkan perincian kod etika baharu berkenaan, akan dibentangkan semula oleh SPRM dalam mesyuarat akan datang.


“JKKMAR juga memutuskan mekanisme perisytiharan harta Anggota Pentadbiran, Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara oleh SPRM, akan diperkukuhkan bagi memantapkan kredibiliti serta integriti pentadbiran kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Beliau berkata pindaan dan penambahbaikan Kod Etika Bagi Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen sedia ada, akan dilaksana dan satu kod etika baharu akan turut diperkenalkan untuk Ahli Parlimen dalam Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347), dengan mengambil kira pengekalan prinsip pengasingan kuasa badan eksekutif dan legislatif.


Ismail Sabri berkata pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkhidmat di tempat sama dalam tempoh lama, boleh ditukarkan ke PBT lain bagi mengelak risiko gejala rasuah dan salah guna kuasa, serta kewujudan Little Napoleon di peringkat lapangan.


Perdana Menteri berkata ketetapan itu akan dilaksanakan menerusi pewujudan Jawatankuasa Pertukaran Pegawai PBT di bawah kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan satu garis panduan akan dikeluarkan kepada pihak berkuasa negeri (PBN) bagi membolehkan pelaksanaannya di seluruh negara.


Selain itu, JKKMAR turut bersetuju melaksanakan Pindaan Akta Audit 1957 bagi menghalang penglibatan Ketua Audit Negara dalam aktiviti atau jawatankuasa perkhidmatan Persekutuan atau perkhidmatan Negeri, namun dibenarkan terlibat dalam jawatankuasa di peringkat dasar.


Ismail Sabri berkata pindaan oleh Jabatan Audit Negara itu bertujuan memperkasa profesionalisme dan menjamin kebebasan peranan Ketua Audit Negara, selain membolehkannya mengaudit badan lain termasuk syarikat yang mempunyai kepentingan kerajaan, tertakluk kepada budi bicaranya.


Perdana Menteri berkata JKKMAR juga bersetuju melaksana penilaian semula hala tuju Institut Integriti Malaysia (IIM), dengan peruntukan geran tahunan tetap melalui Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) untuk tempoh tiga tahun bermula 2023, bagi melaksanakan program pemantapan serta pengukuhan integriti.


“Peranan IIM akan diperkukuhkan berdasarkan tiga fungsi teras utama merangkumi aspek pendidikan; advokasi dan latihan; penyelidikan dan penerbitan serta kerjasama strategik, selain akan diberi peranan melaksanakan model perniagaan secara hibrid untuk mengukuhkan integriti sektor awam dan swasta,” katanya. 


Selain itu, Ismail Sabri berkata Rang Undang-Undang Sumbangan Politik akan dikawal selia oleh sebuah entiti bebas dikenali sebagai Pengawal Selia Sumbangan Politik pada peringkat Persekutuan dan Negeri.


Beliau berkata pandangan daripada pihak berkepentingan termasuk parti-parti politik turut diambil kira sebelum Rang Undang-undang itu dibentang untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.


“Kerajaan sentiasa komited memantapkan nilai integriti dan memastikan ketelusan tadbir urus negara dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas rasuah,” kata Perdana Menteri.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update