-->

Notification

×

Iklan

Iklan

5 lagi mangsa sindiket kerja di Kemboja dibawa pulang

| September 20, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-09-20T00:28:21Z

KUALA LUMPUR— Lima lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air hari ini.


Kementerian Luar dalam kenyataan malam ini memaklumkan, kelima-lima individu berkenaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan MH755 pada 2 petang tadi.


Perkembangan itu menjadikan bilangan kes mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja yang berjaya diselamatkan sehingga hari ini adalah seramai 143 orang, daripada 158 kes yang dilaporkan. 


“Daripada bilangan mangsa yang diselamatkan, 29 masih berada dalam depoh tahanan imigresen di Kemboja manakala selebihnya telah pulang ke tanah air.


“Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh terus giat menjalankan usaha untuk menjejaki rakyat Malaysia, yang dilaporkan menjadi mangsa sindiket penipuan ini di Kemboja,” menurut kenyataan itu. 


Selain Kemboja, Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia yang lain sedang mempergiatkan usaha untuk menyelamatkan rakyat negara ini yang menjadi mangsa sindiket di Laos, Myanmar dan Thailand.


Berdasarkan rekod, seramai 16 orang rakyat Malaysia di Thailand, 27 di Laos dan lima di Myanmar, yang menjadi mangsa sindiket berjaya diselamatkan.


Sementara itu, bilangan yang sedang dijejaki pula adalah seramai 12 orang di Thailand, 28 di Laos dan 54 orang di Myanmar.


“Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia di negara terbabit, akan terus melipatgandakan usaha dan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara-negara itu, dalam usaha mengesan dan menyelamatkan mangsa-mangsa sindiket berkenaan,” menurut kenyataan itu.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update