40 kes rasuah, nasib Ahmad Zahid diketahui esok

Keputusan sama ada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan dibebaskan atau diperintah membela diri diketahui esok. Gambar kredit Awani

SHAH ALAM—Keputusan sama ada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan dibebaskan atau diperintah membela diri terhadap 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), akan diketahui esok.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa dijadual menyampaikan keputusan di akhir kes pendakwaan itu pada 9 pagi.


Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud prima facie terhadap Ahmad Zahid, maka beliau akan dipanggil untuk membela diri manakala jika sebaliknya bekas timbalan perdana menteri itu akan dilepas dan dibebaskan.


Pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B. Thavani manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.


Pada 11 Ogos, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 18 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 24 Mei 2021 dan pihak pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 7 Sept lepas.


Antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tan Sri Alwi Ibrahim serta tiga bekas pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun.


Pada 26 Jun 2019, Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem VLN, bagaimanapun pada 31 Julai 2019, mahkamah membenarkan permohonan presiden UMNO itu untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi dibicarakan bersama-sama 33 lagi pertuduhan rasuah membabitkan VLN.


Kesemua kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan bersama.


Ahmad Zahid, 69, didakwa terhadap 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada syarikat UKSB sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.


Beliau didakwa melakukan kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.


Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.


Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sebagai Menteri Dalam Negeri, menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 hingga 2017.


Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid turut didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc; dan US$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.


Ahmad Zahid dituduh melakukan perbuatan itu di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017.


Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

Next Post Previous Post