Tze Yong singkir juara dunia Kean Yew

Tze Yong singkir, Juara dunia, Kean Yew, Sukan Komanwel 2022
Gambar arkib kredit BAM

BIRMINGHAM—Pemain perseorangan lelaki utama negara, Ng Tze Yong melakukan kejutan terbesar pada temasya Sukan Komanwel 2022 Birmingham apabila menyingkirkan juara dunia badminton, Loh Kean Yew dari Singapura pada saingan suku akhir, di sini, hari ini.


Pemain berusia 22 tahun itu menampilkan semangat juang tinggi untuk bangkit semula selepas ketinggalan set pertama sebelum membenam Kean Yew 15-21, 21-14, 21-11, sekali gus melakar kemenangan sulung dalam tiga pertemuan dengan pemain dari Singapura itu.


Pada saingan separuh akhir esok, Tze Yong, pemain ranking ke-42 dunia, akan berdepan sekali lagi dengan pemain India, Kidambi Srikanth.


Tze Yong telah menewaskan Srikanth 21-19, 6-21, 21-16 dalam misi membantu Malaysia mengalahkan India 3-1 untuk merangkul emas acara berpasukan campuran, Selasa lalu, (2 Ogos).


Srikanth mara ke separuh akhir dengan menyingkirkan pemain pilihan tuan rumah, Toby Penty 21-19, 21-17 pada satu lagi perlawanan suku akhir.


Sementara itu, pemain  perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei menemukan jalan penghujung selepas tewas19-21, 21-14, 21-18 kepada juara dunia, Pusarla V. Sindhu dari India.


Ini adalah kali kedua dalam empat hari, Jin Wei tewas 20-22, 17-21 kepada pemain India itu pada pertemuan akhir dalam  acara berpasukan campuran.


Dalam pada itu, beregu lelaki pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dengan mudah melangkah ke separuh akhir selepas mengalahkan wakil Uganda, Brian Kasirye-Daniel Wanagaliya 21-6, 21-12.


Beregu negara itu akan berdepan dengan pemenang antara beregu England, Ben Lane-Sean Vendy dan  Pham Tran Hoang-Jack Yu dari Australia di peringkat separuh akhir.


Bagaimanapun, Malaysia menempuh nasib berbeza dalam acara beregu campuran, apabila pasangan profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengalahkan  pasangan England, Callum Hemming-Jessica Pugh, 22-20, 21-11 sementara pasangan negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See tewas 15-21, 19-21 kepada Adam Hall-Julie Macpherson dari Scotland.


Bagaimanapun, Peng Soon boleh menarik nafas lega apabila gandingannya dengan Kian Meng dalam acara beregu lelaki berjaya menundukkan Sachin Dias-Buwaneka Goonetilleka dari Sri Lanka 21-16, 21-12 untuk mara ke separuh akhir.


Peng Soon-Kian Meng akan menentang Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty selepas pasangan utama India itu menewaskan pasangan Australia, Jacob Schueler-Nathan Tang, 21-9, 21-11, dalam satu lagi perlawanan suku akhir.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.